Terdapat banyak hadis yang menganjurkan menyapu muka selepas solat dan berdoa tetapi tiada satu jua yang sahih.

[1] Hadis menyapu muka setelah berdoa.
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا مديديه في الدعاء لم يردهما حتى يمسح بهما وجهه.
Dahulu Rasulullah s.a.w apabila (baginda) mengangkat kedua tangannya ketika berdoa, tidaklah menurunkannya hingga (baginda) menyapunya ke wajah baginda. [H/R al-Tirmidzi 5/463 (no. 3386), al-Hakim 1/719 (no. 1967), at-Thabrani dalam Mu’jam al-Ausath 7/124 (no. 7053) dan lain-lain]


Kesemua jalur perawi hadis ini adalah melalui Hammad bin Isa al-Juhani. Walau bagaimanapun hadis ini adalah hadis yang dha’if sebagaimana keterangan para ulamak hadis. Punca kelemahan hadis ini adalah terletak kepada salah seorang perawinya yang bernama Hammad bin Isa al-Juhani iaitu seorang rawi yang telah dihukum sebagai dha’if oleh seluruh ulamak hadis seperti Abu Zur’ah ar-Razi, Yahya bin Ma’in, al-Bazzar, adz-Dzahabi, al-Nawawi al-Syafie dan lain-lain.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah (728H) menerusi kitabnya Majmu' al-Fatawa 22/519 menerangkan: Adapun tentang Nabi mengangkat kedua tangannya di waktu berdoa, maka sesungguhnya telah datang hadis-hadis sahih (lagi) banyak (jumlahnya). Sedangkan tentang mengusap (menyapu) muka, tidak ada satu pun hadis yang sahih. Ada satu atau dua hadis, tapi tidak dapat dijadikan hujah.

[2] Hadis menyapu muka setelah salam.

Menyapu muka sejurus selepas mengucapkan salam sambil membaca:

بِسْمِ اللهِ الذِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الرَّحْمَانُ الرَّحِيْمُ، اللَهُمَّ أَذْ هِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزْنَ.
Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain Dia yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, wahai Allah jauhkanlah dariku rasa duka dan kesedihan.

Amalan ini berlandaskan kepada sebuah hadis yang dikeluarkan oleh ath-Thabrani dalam kitabnya, al-Ausath, ms. 451 dan al-Khatib dengan sanad dari Katsir bin Sulaim Abi Salamah, bersumberkan daripada Anas bin Malik rahimahullah. Para ulamak hadis menjelaskan bahawa hadis ini adalah berstatus dha’if jiddan (sangat lemah). Sumber kelemahan hadis ini adalah terletak kepada salah seorang rawinya yang bernama Katsir bin Sulaim Abi Salamah.

Berkata Syeikh al-Albani r.h (1420H): Menurut saya (Syeikh al-Albani), sanad (hadis) ini sangat dha’if disebabkan Katsir bin Sulaim. Imam al-Bukhari dan Abu Hatim menyatakan dengan tegas: Katsir itu munkar riwayatnya. Sedangkan Imam al-Nasa’i mengatakan: Jumhur (majoriti) muhaddisin (ahli hadis) sepakat menyatakannya sangat dha’if dan riwayat yang dibawanya seluruhnya tidak dapat diterima. Wallahu ‘alam. [Lihat Silsilah al-Ahadith adh-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah wa Atsaruha as-Sayyi’ fi al-Ummah 2/142-143 (no. 660).]

Demikian kedudukan hadis berkenaan anjuran menyapu muka sejurus selepas mengerjakan solat (salam). Selain daripada kelemahan sanadnya, hadis ini juga dilihat memiliki kelemahan dari sudut matannya kerana ia bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri di mana beliau berkata:

مطرنا ليلة إحدى وعشرين فوكف المسجد في مصلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فنظرت إليه وقد انصرف من صلاة الصبح ووجهه مبتل طينا وماء.
Pada malam kedua puluh satu, kami diselubungi hujan dan masjid saat itu bocor pada tempat Rasulullah bersolat. Lalu aku melihat kepada baginda, baginda baru selesai dari (mengerjakan) solat subuh dan pada wajahnya terdapat kesan lumpur dan air. [H/R al-Nasa’i dalam Shahih Sunan al-Nasa’i (no. 1355).]

Ketika mengeluarkan hadis ini, al-Nasa’i meletakkannya di bawah bab “Tidak mengusap dahi selepas salam”, membuktikan amalan menyapu muka sambil membaca zikir selepas salam bukan merupakan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Penjelasan tambahan: Sebahagian pihak membolehkan beramal dengan hadis-hadis dha'if berhubung dengan anjuran menyapu muka setelah selesai salam dan berdoa dengan alasan untuk meraih Fadhail al-A'mal. Akan tetapi pandangan ini tidak tepat kerana tidak ada satu jua hadis-hadis tersebut yang menerangkan keutamaan (fadhail) amalan menyapu muka. Lebih dari itu, amalan tersebut juga tidak didukung oleh sebarang nas yang sahih sehingga itu ia tidak boleh dijadikan hujah untuk menjadi dasar penetapan amalan menyapu muka setiap kali selesai salam dan berdoa. Semua ini telah saya terangkan dalam buku saya Marilah Berzikir Selepas Solat Bersama Rasulullah (Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2010). Silalah merujuk ke sana.

Bagaimana pula beramal dengan hadith dhaif..? Penerangan berkenaan hukum beramal dengan hadith dhaif bole rujuk di sini: Hukum Mengamalkan Hadith Dhaif

Sumber: Mohd Hairi Nonchi

Penerangan Tambahan:








0 comments:

Post a Comment

 
Abu Aqif Blog © 2013. All Rights Reserved. Powered by Blogger

Top